
Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.
Segala puji-pujian hanya bagi Allah, selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. dan seterusnya kaum keluarganya serta para sahabat dan para tabiin seluruhnya. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNYA maka Buku Pengurusan SMK Rasau Kerteh B5 (SEMARAK) sesi 2022 telah dapat disiapkan dengan sempurna. Terlebih dahulu, sekalung tahniah dan jutaan terima kasih saya tujukan kepada Jawatankuasa Buku Pengurusan dan Panduan Tugas 2022 yang telah bertungkus-lumus bekerja menyiapkan buku ini dalam masa yang ditetapkan sebelum sesi baru persekolahan bermula. Buku ini penting sebagai garis panduan dan rujukan kepada semua warga SEMARAK untuk melaksanakan tugas dengan lebih konsisten dan sistematik. Saya amat mengharapkan agar semua warga SEMARAK khususnya para guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) dapat meneliti dan memahami isi kandungannya agar segala tugasan yang di amanahkan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi.
Berlabuhnya tirai 2021 menyaksikan pelbagai program yang telah dirancang telah berjaya dilaksanakan bagi memastikan berlakunya perubahan dan penambahbaikan di sekolah. Tahniah kepada semua warga guru yang telah sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi untuk kecemerlangan anak-anak SEMARAK. Semoga segala usaha murni ini mendapat keberkatan dan ganjaran yang setimpal dari yang Maha Esa. Pada tahun ini, komitmen dan iltizam guru sangat dituntut bagi menjayakan agenda pendidikan negara. Marilah kita bersama-sama menanam azam dan tekad yang kuat untuk menggapai kejayaan yang lebih gemilang. Kita semua sedar bahawa dengan keadaan kualiti sumber yang kita ada, menuntut kita berusaha lebih gigih untuk kita bersaing dengan sekolah-sekolah lain yang lebih cemerlang. Justeru , saya mengajak rakan-rakan guru untuk menjadikan kita terdidik dan terbimbing dari setiap aspek bagi memastikan kita bersedia menghadapi berbagai cabaran dan dugaan dalam persekitaran pendidikan yang mencabar.
Perubahan kepada tampuk kepimpinan negara telah menyebabkan perubahan kepada dasar di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sebagai penjawat awam minda kita perlulah sentiasa terbuka dan bersedia untuk menerima perubahan-perubahan ini. Semua warga pendidik perlu memahami Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) agar apa yang kita rancang di peringkat sekolah selari dengan hasrat misi dan visi KPM iaitu “Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”. Di samping itu, kita juga perlu mempunyai pemikiran yang terbuka untuk berubah dari budaya kerja lama yang kurang efektif kepada budaya kerja baharu yang lebih baik.
Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Awam bertunjangkan KBAT dan PAK 21, MBMMBI, Dasar 1Murid 1Sukan (1M1S), Kawalan Disiplin Pelajar, Budaya Sekolah Penyayang serta Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) perlulah dihayati. Dalam usaha ke arah mentransformasikan sistem pendidikan ini, ianya perlulah bermula dari dalam bilik darjah. Amalan PdPc berasaskan PAK 21 perlulah menjadi fokus pihak sekolah untuk mengekalkan matlamat asas iaitu melahirkan modal insan kelas pertama yang dapat menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran kerja semasa.
Sememangnya produktiviti yang didasari dengan kreativiti dan inovasi mampu melonjakkan kecemerlangan sekolah. Selain itu, pencapaian yang cemerlang dalam bidang kurikulum, sahsiah dan kokurikulum harus dijadikan asas untuk memperhebatkan usaha melahirkan anak-anak SEMARAK yang mampu mengharumkan nama sekolah di peringkat yang lebih tinggi. Sekiranya kita dapat memupuk semangat kerjasama dan permuafakatan serta komitmen yang tinggi dalam apa-apa jua tugasan yang diberikan, kejayaan dan kecemerlangan akan pasti menjadi milik kita.
Akhir kata, saya mendoakan semoga warga SEMARAK dapat bergerak secara proaktif, berfikir secara kreatif dan inovatif serta bertindak dengan bijaksana dan penuh bertanggungjawab dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan sepanjang tahun 2019 ini. Harapan saya agar kita semua warga SEMARAK dapat bekerja sebagai satu pasukan yang utuh demi mencapai kecemerlangan dalam semua bidang terutamanya aspek kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Semoga kita diberi kekuatan untuk terus berusaha mendidik anak-anak SEMARAK dengan penuh dedikasi dan seterusnya menjadikan mereka insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara suatu masa kelak, Insya-Allah.
Sekian, terima kasih.
“MEMPERKASAKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
…………………………………………………………….
( En Anuar Mohammed)
Pengetua,
SMK Rasau Kerteh B5,
Kemaman, Terengganu.